MEMBUAT kajian dan melihat semula sorotan penuh hampir semua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara faktor kejayaan Marzuki Mohamed Noor menuai hasil lumayan bagi minggu kedua.
Pengurus pasukan Mr Mockingjay ini berjaya memungut antara mata tertinggi minggu kedua Liga Fantasi Kosmo! biarpun hanya menggunakan pemain Brighton.
“Kalau sebelum ini saya tak berapa aktif sertai liga. Peraduan ini (Liga Fantasi Kosmo! 2022/23) mewujudkan persaingan yang sihat dengan adanya hadiah utama dan ganjaran setiap minggu.
“Saya pilih pemain bukan berdasarkan pasukan bertaraf bintang atau harga yang mahal, tetapi prestasi pemain yang boleh menyumbang banyak mata. Saya tak tangkap muat, saya kaji dulu pemain-pemain tertentu.
“Cumanya, sedikit kecewa kerana pilihan pemain Liverpool saya tak menjadi. Kalau ikutkan patut boleh dapat lebih banyak mata,” katanya.