ALOR SETAR – Polis menahan seorang individu selepas dia bertindak menyamar sebagai Raja Muda Perak ketika mahu berurusan di Pejabat Sultan Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditangkap di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira pukul 5.30 petang semalam.
Katanya, kejadian tersebut berlaku pada pukul 11.30 pagi, 28 Jun lalu apabila suspek memperkenalkan diri menggunakan sekeping kad berwarna kuning ketika hadir bersama dua wanita.
“Pengadu telah ambil kad tersebut untuk membuat pemeriksaan dan mendapati butiran yang tertera adalah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia British Bin Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Sheikh Tengku Lope Salleh Of Royal Irish Fusiller Princess Victoria.
“Pengadu telah membuat semakan dengan Bahagian Protokol dan Istiadat Negeri Perak dan telah disahkan bahawa tiada kerabat Diraja Perak Darul Ridzuan dengan nama, gelaran dan nombor kad pengenalan sedemikian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kakitangan Pejabat Sultan Kedah membuat laporan polis kerana bimbang suspek menggunakan gelaran diraja dan menyamar sebagai kerabat Diraja Perak.
“Setakat ini hanya seorang suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya.
Tambahnya, suspek ditahan reman selama empat hari mulai hari ini hingga 21 Ogos bagi membantu siasatan termasuk mengetahui motif kejadian. – KOSMO! ONLINE