PETALING JAYA – Selepas kejayaan penganjuran terdahulu, cabaran aktiviti lasak Kenanga Triathlon Series bakal bersambung dalam siri ketiga bermula 20 Ogos ini di Admiral Marina Cove, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Seperti dua siri terdahulu di Putrajaya dan Melaka, siri ketiga menjanjikan cabaran lebih getir kepada ketahanan fizikal dan mental setiap peserta dalam tiga disiplin sukan iaitu berenang, berbasikal serta berlari.
Pengarah perlumbaan Kenanga Triathlon Series, Eugene Chan berkata, untuk siri ketiga kali ini, sambutan yang diterima sangat menggalakkan apabila seramai 1,400 peserta sudah mengesahkan penyertaan.
“Kami sangat gembira dengan sokongan yang diberikan kepada Kenanga Triathlon Series seperti jumlah penyertaan untuk siri ketiga seramai 1,400 peserta jika dibandingkan hanya 500 ketika siri pertama.
“Seperti kita ketahui Covid-19 masih lagi belum berakhir dan semua pihak termasuk peserta masih terkesan dari sudut kewangan tetapi mereka tetap memberi sokongan kepada acara seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Eugene berkata, jumlah 1,400 peserta itu terdiri daripada 13 negara secara tidak langsung dapat memperkenalkan Port Dickson iaitu antara tempat tumpuan utama pelancong di Malaysia kepada peserta dari luar negara.
“Port Dickson bukan asing untuk acara triatlon. Banyak acara triatlon sudah dianjurkan di Port Dickson sejak 20 tahun lalu. Jadi penganjuran kali ini umpama menghimpunkan kesemua peserta triatlon dari seluruh Asia.
“Jadi menerusi acara ini, ia secara tidak langsung dapat memperkenalkan lagi sektor pelancongan Port Dickson kepada peserta dari luar negara,” katanya.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Iskandar Mirza Mohd. Yusof dijangka hadir untuk menyempurnakan acara pelepasan peserta. – KOSMO! ONLINE