KUALA LUMPUR – Penyanyi Zamani Slam mengakui menyesal tidak mendaftarkan diri sebagai ahli Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) sejak bergelar penyanyi lebih dua dekad lalu.
Menurutnya, kekesalan mula terasa apabila kini dirinya semakin menderita menghidap penyakit skoliosis atau tulang belakang melengkung sejak tujuh tahun lalu.
“Kadang-kadang saya rasa menyesal juga. Seorang pun daripada anggota Slam tiada yang mendaftar sebagai ahli RPM.
“Bukan soal royalti yang saya kejarkan, tetapi bila berlaku macam sekarang ni (sakit), setidak-tidaknya wang hasil royalti itulah sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban selain menampung perbelanjaan selepas pembedahan nanti,” katanya.
Tambah Zamani yang juga merupakan vokalis Slam, sewaktu usianya muda, dia langsung tiada kesedaran untuk mendaftarkan diri sebagai ahli dan kini semuanya sudah terlambat.
“Jadi saya nak pesan kepada artis-artis baharu terutama penyanyi yang ada lagu, daftarlah diri sebagai ahli. Jangan jadi macam saya.
“Sekurang-kurangnya hasil titik peluh kita sebagai penyanyi terbalas lebih-lebih lagi ketika keadaan memerlukan nanti,” katanya pada sidang akhbar Konsert Doa Buat Zamani Unplugged di sini semalam.
Minggu lalu, Zamani mendedahkan tahap kesihatan dirinya kini semakin merosot dan teruk akibat masalah skoliosis hingga menyebabkan tulang belakang sudah mencucuk tulang rusuk serta menghimpit jantung dan paru-parunya.
Jelas Zamani yang cukup sinonim menerusi lagu Gerimis Mengundang, buat masa sekarang dia tiada pilihan lain selain perlu memakan ubat tahan sakit setiap hari sementara menunggu proses pembedahan yang dijangka dilakukan pada awal November nanti.
Konsert Doa Buat Zamani yang bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 30 September nanti turut bakal dihadiri beberapa penyanyi hebat lain seperti Datuk Ramli Sarip, Fauziah Latiff, Rahim Maarof dan penampilan istimewa, Datuk Aznil Nawawi.
Tiket konsert sudah mula dijual dan boleh dibeli menerusi laman sesawang www.myticket.asia atau menerusi talian 03-8605 0198 atau 019-7860 144.
Tiket dijual bermula harga RM238 (Nur Kasih); RM288 (Rindiani); RM388 (Maria Mariana) dan RM488 (Kurnia: Meet & Greet). – KOSMO! ONLINE