PETALING JAYA – Malam ini bakal berlangsung Konsert Happier Than Ever World Tour 2022, namun sebelum merealisasikan acara itu penyanyinya, Billie Eilish mengambil kesempatan mengisi masa ke Plaza Sg Wang, semalam.
Kehadiran bintang sensasi berusia 20 tahun bersama skuad pengiring ke pusat beli belah ikonik itu sudah pasti mengundang rasa teruja pengunjung lain.
Di tengah hutan batu yang popular dengan aneka bangunan pencakar langit, Eilish memilih Bukit Bintang yang sememangnya sinonim sebagai pusat tumpuan ramai biarpun banyak tarikan lain di sekitarnya.
Ramai yang sempat berkongsi momen menarik tersebut di laman sosial bersama kapsyen usikan termasuk menyatakan penerima tujuh anugerah Grammy itu mahu menempah kaca mata baharu.
Dalam perkongsian di aplikasi TikTok, kelihatan Eilish yang dikelilingi pengawal peribadi tetap melayani dan membalas lambaian peminat yang menyedari kehadirannya.
Malah ada yang mengambil kesempatan merakamkan gambar terutama ketika dia mahu memasuki kenderaan sebelum pulang ke hotel.
“Dalam banyak pusat beli belah, dia memilih Plaza Sg Wang,” komen seorang peminat.
Kemesraan serta sikap patuh terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai topeng muka ketika memasuki bangunan juga meraih pujian ramai.
Menurut perkongsian di akaun rasmi pusat beli belah tersebut, artis itu hadir bagi merasai pengalaman bermain go-kart di Blastacars Malaysia.
Turut bersama dalam rombongan tersebut adalah abangnya, Finneas serta beberapa pemuzik yang mengiringi persembahannya nanti.
Terdahulu, pada Selasa lalu ketibaan Eilish di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi perhatian apabila peminat yang terserempak berkongsi pengalaman bertemunya dengan memuatnaik gambar dalam laman Twitter mereka.
Masing-masing tidak mampu menyembunyikan perasaan bangga bertentang mata penyanyi lagu Bad Guy itu sebelum persembahan meganya di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Selain Kuala Lumpur, Eilish bakal beraksi di Bangkok, Thailand; Singapura, Manila, Filipina; Seoul, Korea Selatan dan Tokyo, Jepun.
Terdahulu, pada 2020 Eilish diangkat sebagai artis termuda (pada usia 18 tahun) memenangi pencapaian tertinggi dalam Anugerah Grammy Grammy iaitu Rakaman Terbaik, Lagi Terbaik bagi Bad Guy, Album Terbaik untuk When We All Fall Asleep dan Where Do We Go?.
Sementara itu, kemeriahan konsert Happier Than Ever di negara ini semakin terasa apabila pengikut tegarnya rancak berkongsi video pendek persiapan terakhir di stadium menjelang kemuncak konsert, malam ini.
Mereka yang sudah mendapatkan tiket sejak awal berkongsi rasa tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada sejarah persembahan mega jelajah dunia penyanyi kesayangan mereka.
Bukan sahaja menyambut kedatangan Eilish dengan pelbagai ragam, tidak kurang yang rancak memuat naik video persiapan konsert tersebut.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan berdasarkan lokasi sebelum ini adalah I Didn’t Change My Number, Therefore I Am, My Strange Addiction,You Should See Me in a Crown, Billie Bossa Nova, Goldwing, Male Fantasy, All the Good Girls Go to Hell, Bad Guy dan Happier Than Ever.
Dalam perkembangan lain, difahamkan peminat sudah mula beratur di stadium seawal jam 10 pagi tadi menantikan konsertnya biarpun persembahan hanya akan bermula pukul 8.30 malam ini. – KOSMO! ONLINE