PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi popular Janna Nick terpaksa berputih mata apabila mengambil keputusan untuk melepaskan dua keping tiket menyaksikan konsert sulung penyanyi antarabangsa Billie Eilish di Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Janna terpaksa berbuat demikian selepas dimasukkan ke wad gara-gara dijangkiti wabak Influenza B, sekali gus dua keping tiket konsert Billie Eilish Happier Than Ever The World Tour 2022 itu tidak memberi sebarang makna buat dirinya.
Kata Janna, dia sudah merancang untuk menjerit sepuas hati ketika menonton konsert itu nanti. “Saya baru nak menjerit sepuas hati dan menonton konsert Billie Eilish memandangkan itu adalah konsert pertamanya di Malaysia,” ujar Janna.
Bagaimanapun, selebriti berusia 26 tahun itu memaklumkan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan apabila mengalami demam dan disahkan dijangkiti Influenza B.
Namun begitu, pelantun lagu gatal itu memberitahu keadaan kesihatannya stabil dan berharap akan segera pulih seperti sediakala.
“Saya cuma mohon doa orang ramai supaya penyakit ini lenyap dengan segera. Saya menahan kesakitan ini selepas mengalami demam berpanjangan.
“Disebabkan itu, saya ditahan di wad supaya doktor dan jururawat dapat memantau keadaan kesihatan saya.
“Insya-Allah semuanya akan baik-baik saja. Doakan semoga tiada komplikasi teruk dan saya dapat kembali bekerja,” katanya.
Pada masa sama, Janna yang sedang menjalani penggambaran drama Melastik Ke Hatimu 2 turut berasa bersalah dengan seluruh tenaga produksi dan pelakon yang terbabit memandangkan penggambaran sudah hampir tamat.
Namun, disebabkan masalah kesihatan, penggambaran drama tersebut terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.
“Ikutkan hati saya nak sambung saja penggambaran seperti biasa tapi bimbang kerana virus ini ada risiko berjangkit,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE