JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) menyatakan bahawa Indonesia mempunyai empat kekuatan untuk mencapai visi menjadi negara maju, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia semalam.
Menurut Jokowi, salah satu kekuatan republik itu adalah keupayaannya untuk mengatasi krisis kesihatan. Negara itu juga memiliki kelebihan kerana mempunyai kekayaan alam yang melimpah-ruah.
“Pertama adalah kemampuan kita menguruskan pandemik.
“Kedua, sumber alam semula jadi melimpah-ruah yang pastinya akan menjadi kekuatan besar Indonesia sekiranya diuruskan dengan bijak dan lestari,” kata Jokowi menerusi akaun Twitter rasmi miliknya.
Kekuatan ketiga menurut Jokowi adalah faktor demografi. Kata beliau, Indonesia mempunyai golongan muda yang produktif yang menjadi penggerak ekonomi negara.
Sementara itu, kekuatan terakhir adalah kepercayaan di peringkat antarabangsa. Menurut beliau, Indonesia kini semakin menyerlah di persada dunia.
“Indonesia diterima oleh Russia dan Ukraine sebagai penghubung keamanan, dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai juara daripada Kumpulan Tindak Balas Krisis Global,” katanya.
Kedudukan Indonesia sebagai pengerusi Kumpulan 20 (G20) turut dijadikan kayu ukur, selain giliran Jakarta yang akan menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.
Sebelum ini, Jokowi memberi amaran kepada rakyat Indonesia mengenai krisis yang melanda dunia. Beliau meminta semua pihak agar bersiap sedia menghadapi ketidaktentuan.
Bagaimanapun, Jokowi berkata, Indonesia adalah antara negara yang berjaya mengharungi krisis berkenaan dengan keadaannya yang lebih baik berbanding kebanyakan negara lain. – Agensi