TANJUNG MALIM – Perenang negara, Khiew Hoe Yean mencipta sensasi apabila membutirkan pingat emas pada hari pertama acara renang dipertandingkan pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 hari ini.
Pada saingan yang berlangsung di kolam renang kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tersebut, pelajar Universiti UCSI itu membuka kilauan pingat emas dengan memecahkan rekod kejohanan dalam acara 400 meter (m) individu medley dengan catatan masa empat minit 39.53 saat (s).
Perenang berusia 19 tahun tersebut meneruskan momentum cemerlang apabila mengungguli acara 200m gaya bebas, 200m kuak lentang selain membantu kuarter UCSI memenangi acara 4×200m sekaligus berjaya memperbaharui rekod kejohanan.
“Saya gembira dengan empat emas yang diraih ini. Ia satu permulaan baik pada penampilan pertama saya di SUKIPT.
“Jadi saya harap boleh mengekalkan momentum kemenangan ini kerana esok dan lusa saya masih ada beberapa yang akan disertai. Saya mahu menyumbang lebih banyak emas buat UCSI,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Selain Hoe Yan, perenang dari Universiti Sunway, Ong Yong Qi turut cemerlang apabila meraih dua emas di temasya SUKIPT 2022, apabila mengungguli acara 200m kuak lentang dan 200m gaya bebas.
Lebih manis lagi, catatan masa dua minit 33.10 saat yang dilakukan Yong Qi dalam acara 200 m kuak lentang itu berjaya memperbaharui rekod kejohanan sebelum ini.
“Saya berpuas hati dengan pencapaian dua emas ini. Walaupun baru sahaja pulang dari temasya AUG, tapi saya masih boleh kekalkan prestasi saya di temasya ini.
“Saya harap persembahan ini dapat diteruskan kerana saya sasar empat emas dari temasya ini,” katanya. KOSMO! ONLINE