PUTRAJAYA- Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditunjangi empat parti Melayu menyifatkan akan menggunakan satu logo sahaja untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, logo menggunakan nama Tanah Air itu juga akan diputuskan pada minggu depan sebelum dibawa ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk pendaftaran.
“Saya juga mengumumkan lima lagi nama pemimpin tertinggi gerakan ini iaitu Datuk Mohamed Ismail (Bendahari), Datuk Nizam Mahshar (Ketua Penerangan), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim (Sayap Wanita), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif (Sayap Pemuda) dan Azliza Rajain (Sayap Pemudi).
“Jelas di sini pengurusan gerakan itu terdiri daripada bukan saja parti politik tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Presiden GTA di sini hari ini.
Dr. Mahathir berkata, pihaknya mewakili orang Melayu tetapi bukan dalam kalangan yang ada masalah di mahkamah atau yang dikenal pasti terlibat jenayah.
Pada masa sama, beliau turut menafikan tuduhan bahawa kewujudan GTA memecahbelahkan orang Melayu, sebaliknya disifatkan berjaya mencantumkan empat buah parti Melayu demi mendirikan sebuah kerajaan bersih.
“Empat parti Melayu akan berada dalam gerakan itu dan bermakna mereka tidak berlawan sesama sendiri ketika PRU15 dan menyokong calon terdiri daripada gerakan tersebut.
“Sekarang ini kita berjaya mencantumkan parti-parti politik Melayu yang biasanya berlawan sesama sendiri, kali ini kita tak lawan sesama sendiri tetapi kita bersatu,” jelasnya.
Sebelum ini GTA dilancarkan secara rasmi dengan disertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa). – KOSMO! ONLINE