LONDON – Chelsea dilaporkan sudah mula melakukan rundingan dengan pengurus, Thomas Tuchel berhubung kontrak baharu yang bakal menyaksikan jurulatih dari Jerman itu kekal di Stamford Bridge sehingga 2026.
Difahamkan, pemilik kelab, Todd Boehly mahu membalas kesetiaan Tuchel dengan menawarkan kontrak jangka panjang lebih lumayan kerana kekal bersama pasukan meskipun berdepan banyak isu sebelum ini.
Selain itu, rekod cemerlang pengendali Jerman itu turut diambil kira selepas beliau mengemudi Chelsea memenangi saingan Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA serta Piala Kelab Dunia.
“Kelab ini memiliki segala-galanya untuk membuatkan saya gembira, tidak ada sebab untuk saya tinggalkan Chelsea,” kata Tuchel.
Sementara itu, Boehly juga mahu menerapkan polisi kontrak jangka panjang seperti di Amerika Syarikat (AS) dengan mengikat pemain berusia bawah 25 tahun menerusi perjanjian sekurang-kurangnya lima tahun.
Polisi itu sudah mula diterapkan oleh rejim baharu Chelsea apabila mereka membawa masuk pemain Aston Villa Carney Chukwuemeka dan bek kiri Brighton, Marc Cucurella dengan menawarkan kontrak selama enam tahun.
Ketika ini, Chelsea dikatakan sedia untuk membuka rundingan bersama tiga produk akademi iaitu Mason Mount, Reece James dan Armando Broja berhubung kontrak baharu selama enam tahun dengan pilihan lanjutan setahun. – AGENSI