MANCHESTER – Kelab bermasalah England, Manchester United menamakan pemain tengah Real Madrid, Casemiro sebagai sasaran baharu untuk menyelesaikan isu di bahagian tengah pasukan tersebut.
Sebelum ini mereka dikaitkan dengan pemain Barcelona, Frenkie De Jong, namun pemain berkenaan tetap berkeras untuk kekal di Camp Nou biarpun The Catalans sudah bersetuju dengan tawaran yuran perpindahan diberikan United.
United menganggap Casemiro sebagai calon alternatif yang mampu untuk menguatkan bahagian berkenaan terutama untuk memikul tanggungjawab sebagai pemain tengah bertahan selepas Fred dan Scott McTominay dilihat gagal melakukan tugas tersebut.
Bagaimanapun, ia bukan tugas yang mudah buat United kerana Casemiro masih dianggap tonggak penting oleh Carlo Ancelotti biarpun mereka berjaya mendapatkan khidmat beberapa pemain muda seperti Fede Valverde, Eduardo Camavinga dan Aurelien Tchouameni.
Sebelum ini, United turut dikaitkan dengan perpindahan pemain tengah Juventus, Adrien Rabiot apabila yuran perpindahan sudah dipersetujui oleh kedua-dua kelab berkenaan.
Bagaimanapun, United dikatakan semakin tawar hati untuk membawa pemain berkenaan ke Old Trafford selepas ejennya, Veronique yang juga ibu Rabiot meminta bayaran gaji yang terlalu tinggi.
United dikatakan sudah menawarkan pendapatan yang besar buat Rabiot untuk menyertai mereka dan menjadikannya sebagai salah seorang yang meraih gaji tertinggi, namun Veronique dikatakan mahukan nilai yang lebih lumayan. – AGENSI