SEBERANG PERAI – Dua beradik teruja dapat kembali ke sekolah sejak Selasa lalu selepas empat tahun keciciran dalam pelajaran.
Yumn Nakyeishaa,16, dan Dahnea Dabryshaa Amir Hamzah,14 yang kini bersekolah di Sekolah Menengah Kampung Kastam, Butterworth menunggang basikal yang disumbangkan jiran setempat.
Yumn Nakyeishaa berkata, pada mulanya dia berasa amat kekok dan sukar untuk membiasakan diri, namun guru-guru dan rakan banyak membantu mereka berdua.
“Memang rasa kekok sebab dah lama tak sekolah tapi lama-lama okay, kami berdua memang amat bersyukur dan teruja untuk menghabiskan persekolahan.
“Saya bersekolah sesi pagi dan adik pula sesi petang dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang banyak membantu memudahkan urusan kami,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee berkata, beliau akan mencari kelas tuisyen fizikal, dalam talian atau tutor bersesuaian bagi membantu kedua beradik itu.
“Banyak yang mereka perlu kejar dalam pelajaran dan saya akan pastikan kedua-duanya tidak akan rasa tertekan dengan suasana baharu ini.
“Saya turut menyerahkan buku rujukan buat kegunaan adik beradik ini dan berharap pihak sekolah akan terus membantu serta memberi sokongan kepada mereka berdua,” tambahnya.
Sebelum ini, Kosmo! menyiarkan mengenai kisah Yumn Nakyeishaa dan Dahnea Dabryshaa yang berhasrat untuk menyambung pelajaran yang tertangguh sejak empat tahun lalu akibat kesempitan hidup. – KOSMO! ONLINE