BANGKOK – Seorang lelaki Thailand yang cuba membunuh ibunya dengan membiarkan wanita itu kebuluran demi membolot harta, ditemui mati dalam keadaan berulat dipercayai akibat penyakit tibi, lapor laman berita Thaiger semalam.
Pegawai polis dari Balai Polis Satuek dihubungi kelmarin untuk menyiasat keadaan sebuah rumah di daerah Satuek, wilayah Buriram selepas seorang jiran melaporkan mengenai kematian lelaki berkenaan.
Sejurus tiba, polis menemui mayat Thongdee Salangam, 57, dalam keadaan berulat terbaring di atas sebuah katil kayu.
Berdasarkan keadaan mayat yang sudah dimakan ulat dan berbau busuk, polis percaya Thongdee sudah mati lebih empat hari.
Ibu lelaki tersebut yang berusia 82 tahun, Nuan Salangam dalam masa sama, ditemui terbaring di atas katil, berhampiran mayat anaknya.
Warga emas yang uzur itu berkata, dia tidak menyedari bahawa anaknya telah meninggal dunia. Tambahnya, dia kelaparan kerana tidak makan dan minum selama tiga hingga empat hari.
Menurut Nuan, dia telah terbaring di atas katil selama 10 tahun. Dia juga layak menerima beberapa subsidi negara untuk warga emas kurang upaya, namun Thongdee mencuri wang diperoleh itu untuk membeli arak.
Dia juga mengaku berasa seperti anaknya itu sengaja mahu membiarkannya mati kebuluran supaya boleh menjual rumah, tanah dan semua harta miliknya.
“Thongdee makan di hadapan saya. Saya merayu kepadanya untuk memberi makanan, namun dia enggan memberikan apa-apa sehingga saya terpaksa minum air paip.
“Dia juga sering memukul saya setiap kali mabuk. Saya pun tidak pasti bagaimana saya boleh terselamat sehingga kini.
“Saya tidak mempunyai sesiapa, tiada bekalan elektrik di sini dan tiada sesiapa mahu menjaga saya,” kata Nuan.
Sementara itu, seorang jiran mereka, Danita Trate-theaway berkata, dia mengetahui keadaan sebenar yang berlaku di rumah tersebut dan telah melaporkan perkara itu kepada polis sebelum ini.
Menurutnya, polis ada melakukan siasatan, namun tidak menemui sebarang bukti bagi mengesahkan laporan tersebut.
Tambahnya, Nuan tetap menyayangi anaknya namun tiada sesiapa mahu melawatnya kerana berasa takut terhadap Thongdee selain bimbang dijangkiti penyakit tibi. – Agensi