GEORGE TOWN – Pemilik sembilan buah motosikal di sebuah flat di Jalan Kurau di sini terpaksa berputih mata apabila kenderaan itu yang diletakkan di tempat parkir perumahan tersebut hangus dalam kebakaran awal pagi tadi.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika penghuni perumahan terbabit sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan bau dan jeritan asap daripada penduduk berhampiran.
Menurut jurucakap bomba, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku kira-kira pukul 3.26 pagi itu dan tiba kes situ kurang 10 minit kemudian.
“Kebakaran berlaku melibatkan sembilan buah motosikal dan sebuah kereta jenis Toyota Vios turut terbakar di bahagian hadapan dengan anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah lima peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu dan pihak bomba masih menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran berlaku serta nilai kerugian yang dialami mangsa. – KOSMO! ONLINE