fbpx

38 calon STPM Negeri Sembilan peroleh PNGK 4.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MD. Fiah Md Jamin (empat dari kanan) menunjukkan laporan keputusan STPM Negeri Sembilan dalam sidang akhbar di Nilai, Seremban hari ini.

SEREMBAN: Seramai 1,275 daripada 1,290 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 di Negeri Sembilan telah lulus dengan mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal.

Jumlah tersebut iaitu 98.84 peratus merupakan peningkatan berbanding 98.71 peratus bagi tahun 2020.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan Datuk Md. Fiah Md Jamin berkata, daripada jumlah tersebut seramai 53 orang calon lulus lima prinsipal (4.1 peratus), 941 calon lulus empat prinsipal (72.78 peratus).

“Seramai 159 calon lagi, lulus tiga prinsipal (12.3 peratus), 77 calon lulus dua prinsipal (5.96 peratus) dan 46 calon lulus satu prinsipal (3.56 peratus).

“Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) bagi Negeri Sembilan bagi tahun 2021 adalah 2.85 berbanding tahun 2020 iaitu 2.76. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.09 mata dan PNGK STPM 2021 negeri ini pada tahun ini adalah melebihi PNGK Kebangsaan ialah 2.79,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar Keputusan STPM Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Dato’ Mohd. Said, Nilai di sini hari ini.

Dalam pada itu, Md. Fiah turut memaklumkan seramai 38 pelajar iaitu 2.94 peratus calon STPM 2021 di negeri ini memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

“Mereka ini terdiri daripada 34 orang calon jurusan sastera dan empat orang calon jurusan sains,” katanya lagi

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, antara mata pelajaran yang mencatat 100 peratus lulus penuh yang terbaik bagi sekolah kerajaan di negeri ini adalah Bahasa Cina, Literature in English, Matematik (M) dan Information and Communications Technology.

“Terdapat peningkatan prestasi mata pelajaran iaitu Matematik (M) naik 26.09 peratus, Information and Communications Technology naik 12.5 peratus, Fizik naik 8.38 peratus, Sains Sukan naik 5.44 peratus dan Bahasa Melayu naik 2.34 peratus,” ujarnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI