GEORGE TOWN – Kaedah Beli Dahulu Bayar Kemudian atau Buy Now Pay Later (BNPL) perlu dikawal selia agar golongan muda tidak tersilap langkah sehingga mendorong mereka berhutang dalam jumlah yang tinggi.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pihak berkuasa perlu mewajibkan platform BNPL melakukan semakan skor kredit setiap pengguna sebelum membolehkan mereka menggunakan kaedah itu bagi membeli barangan.
“Kawal selia juga boleh dijalankan dengan menghubungkan platform BNPL supaya semakan skor kredit, jumlah dan bilangan BNPL yang diambil pengguna boleh dijalankan terlebih dahulu.
“Kawalan perlu dijalankan kerana sekiranya pengguna lalai kemungkinan mereka akan dikenakan yuran lewat bayar yang mungkin lebih mahal daripada menggunakan kad kredit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kelmarin, Kosmo! melaporkan, kaedah pembelian barangan melalui perkhidmatan BNPL yang mula diperkenalkan tahun lalu seolah-olah telah menjadi ‘hobi’ baharu dalam kalangan pengguna khususnya orang muda.
Menurut Mohideen, kaedah BNPL berguna jika pengguna mahu membuat pembelian barangan yang benar diperlukan atau penting, namun tidak mampu membayarnya secara tunai.
“Bagaimanapun, pengguna perlu mempertimbang untuk membayar balik dalam tempoh masa yang singkat (enam bulan) tepat pada masanya.
“Pengguna perlu berdisiplin dalam pembayaran bagi memastikan bayaran dibuat tepat pada masanya dan dia bukan pembeli yang mahu membeli barangan itu secara tergesa-gesa,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE