VALENCIA – Bintang tenis meningkat naik, Carlos Alcaraz bakal mengetuai cabaran Sepanyol selepas jaguh dunia, Rafael Nadal tidak disenaraikan untuk menghadapi saingan Piala Davis bulan depan.
Masalah kecederaan antara faktor dilihat menjejaskan tempat Nadal dalam skuad Sepanyol yang berdepan Kanada, Serbia dan Korea Selatan untuk saingan Kumpulan B di Valencia dari 13 hingga 18 September depan.
Nadal, 36, memenangi gelaran Terbuka Australia dan Terbuka Perancis awal tahun ini untuk mencipta rekod 22 gelaran perseorangan lelaki Grand Slam.
Bagaimanapun, dia terpaksa menarik diri daripada aksi Wimbledon berikutan kecederaan perut sebelum pertembungan separuh akhir menentang pemain dari Australia, Nick Kyrgios.
Nadal kemudiannya kembali ke gelanggang pada Terbuka Cincinnati sebagai persediaan menghadapi Terbuka Amerika Syarikat yang akan membuka tirainya bermula 29 Ogos ini.
Bagaimanapun, ia masih tidak menjamin tempat buat Nadal dalam skuad Piala Davis Sepanyol yang menyenaraikan Alcaraz, Pablo Carreno Busta, Roberto Bautista Agut, Alejandro Davidovich Fokina dan Marcel Granollers.
Sementara itu, bekas pemain No.1 dunia, Novak Djokovic kembali memperkuatkan cabaran Serbia, manakala Alexander Zverev pula bakal mengetuai cabaran satu lagi pasukan pilihan, Jerman yang bersaing dalam Kumpulan C.
Zverev yang menjalani pembedahan buku lali kanan pada Jun lalu disebabkan kecederaan koyak ligamen, menjadi sandaran untuk memastikan Jerman berjaya melepasi halangan Perancis, Belgium dan Australia. – AGENSI