AMPANG JAYA – Seorang lelaki yang merupakan penjawat awam ditahan polis selepas dia disyaki memiliki dadah di tepi jalan berhampiran Pandan Indah, dekat sini hari ini.
Suspek yang berumur 37 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Pandan Indah yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan itu ditahan kira-kira pukul 3.50 pagi.
“Pemeriksaan dijalankan terhadap suspek menemui lima paket dipercayai dadah jenis syabu seberat 6.95 gram dan satu paket dadah dipercayai ganja seberat 3.46 gram,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah.
Jelas beliau, semakan pihak polis mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah namun, tiada dalam senarai individu yang dikehendaki polis.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE