TANJUNG MALIM – Meskipun dipanggil menjadi pengganti pada saat akhir, namun langsung tidak menjadi penghalang buat Nur Humaira Abdul Karim menjelmakan kilauan pingat emas pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2022).
Dalam saingan yang berlangsung di Dewan SITC kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Humaira cemerlang dalam acara individu Poomsae selepas mendapat 8.52 mata daripada pihak juri.
“Sebenarnya agak terkejut, bila diminta saat akhir untuk beraksi dalam kategori ini kerana sepatutnya kakak saya, Nur Hidayah yang diturunkan. Tapi sebab dia ada kecederaan, jadi saya yang kena ganti dia.
“Apa-apapun, Alhamdulillah saya berjaya beraksi dengan baik. Kakak juga banyak membantu saya sebelum beraksi ini.
“Malah saya juga turut gembira kerana berjaya sumbang emas untuk Universiti Malaya pada penampilan SUKIPT pertama saya,” katanya selepas perlawanan.
Perak dimenangi atlet Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Lim Jia Wei dengan skor 8.54 manakala gangsa dimenangi wakil Tunku Abdul Rahman University College (TARUC).
Dalam aksi kategori poomsae lelaki, emas dimenangi Cheong Qi Yap dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berjaya mengutip 8.299 mata.
Perak dimenangi atlet Sunway University, Chin Ken Haw dengan skor 8.099 manakala gangsa diraih wakil Universiti Sains Malaysia (USM), Hong Xue Ru (7.832). -KOSMO! ONLINE.