APA sudah jadi pada nilai nasi lemak berharga RM2 yang dibeli sekarang kerana begitu ‘kosong’ rasanya, kering dan tiada lagi rasa lemak bersantan.
Makanan popular semua bangsa itu juga kini kurang rasa nikmat ‘air tangan’ tukang masak berpengalaman yang sepatutnya berniat untuk menghargai pelanggan dengan menyediakan juadah yang lazat.
Pelanggan setia sanggup beratur panjang dan mampu membayar lebih sekiranya menu yang dijual itu berbaloi dengan harga dan memenuhi cita rasa mereka, apatah lagi masakan itu menggunakan resipi tradisional keluarga turun temurun.
Dek terbeban kos bahan mentah yang mencanak naik, mereka alpa pada nawaitu dan tanggungjawab mereka untuk berkongsi rezeki dengan pelanggan.
Apa yang dipersembahkan pada pelanggan kini hanya sekadar untuk memenuhi rasa lapar pelanggan dan mengaut keuntungan demi kelangsungan hidup menghadapi persekitaran ekonomi yang sukar.
Akhirnya pelanggan menjadi mangsa sehingga timbul mahu memboikot kedai tersebut malah ada yang sanggup menjadikan bahan tular di media sosial sehingga membuatkan perniagaan tersebut dicemuh.
Kebimbangan komuniti juga kini dilihat agak melampau dengan ramalan dan analisisi ‘tidak formal’ mengenai masa depan ekonomi negara sedangkan Bank Negara Malaysia baru sahaja mengumumkan petunjuk positif mengenai pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan suku kedua tahun 2022.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama lalu adalah lima peratus dan terus kukuh pada suku kedua dengan 8.9 peratus pada suku kedua yang didorong oleh permintaan domestik yang baik.
Sehubungan itu, bank pusat meramalkan ekonomi berkembang antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus pada tahun ini malah mungkin ia akan cenderung ke paras sasaran yang lebih tinggi.
Ada juga saranan daripada mereka yang ‘arif’ untuk tidak membuat sebarang permohonan pinjaman pada tahun depan ekoran kos pinjaman yang lebih tinggi dan juga kadar faedah yang terus meningkat.
Atas dasar apakah ramalan tersebut dibuat dalam persekitaran ekonomi semasa sedangkan banyak pihak termasuk usahawan kini sangat memerlukan bantuan kewangan daripada sektor perbankan untuk mengembangkan modal perniagaan.
Bagi individu pula, mereka ada alasan sendiri dan pastinya memerlukan sokongan pinjaman untuk menyelesaikan masalah dihadapi seperti membiayai pembelian kediaman atau kereta baharu.
Pastinya pihak bank tidak akan meluluskan permohonan pembiayaan seandainya pemohon tersebut tidak layak memenuhi kriteria dan garis panduan yang ditetapkan, ia bukan dibuat sembrono bagi mencapai KPI bank.
Jadi pepatah kata, ukur baju di badan sendiri amat menepati persoalan tersebut dan jadikan pengajaran negara dilanda pandemik menyebabkan ramai yang hilang kerja, jatuh muflis dan duit simpanan makin berkurangan sebagai peringatan kerana selalunya rakyat Malaysia selalu dan mudah lupa. -KOSMO! ONLINE