GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang akan menjalankan siasatan lanjut ke atas premis nasi ayam di Sungai Ara dan di Persiaran Gurney di sini.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, A.Mogan berkata, siasatan dilakukan sekiranya kedai makanan tersebut menggunakan apa-apa kenyataan yang boleh menjadi kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Halal di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Menurutnya, siasatan tersebut juga akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
“Semasa pemeriksaan dijalankan, didapati premis kedai makan tersebut tidak menggunakan kenyataan halal di bawah Perintah Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Halal Akta Perihal Dagangan 2011 dan tiada pelanggaran kesalahan terhadap akta-akta yang dikuat kuasakan KPDNHEP.
“KPDNHEP akan menjalankan siasatan selanjutnya sekiranya premis kedai makan tersebut menggunakan apa-apa kenyataan yang boleh menjadi kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.