fbpx

Konsert Micheal Learns To Rock di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TRIO popular dari Denmark, Micheal Learns To Rock bakal menjayakan sebuah konsert di Genting Highland pada Oktober nanti.

PETALING JAYA – Selepas empat tahun, kumpulan muzik tersohor Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR) bakal kembali mengubat kerinduan peminat di Malaysia menerusi Konsert MLTR Back On The Road Tour Live In Malaysia menjelang 22 Oktober ini.

Bertempat di Arena of Stars, Resorts World Genting, Genting Highlands, trio yang dianggotai Jascha Ritcher, Mikkel Lentz dan Kåre Wanscher itu kali terakhir singgah di Malaysia pada 2018 menjayakan siri jelajah Asia adalah pada 2018.

MLTR sebelum ini membikin debut pada 1991 melalui album yang menggunakan nama kumpulan itu sebagai judul. Produk sulung itu menyaksikan single The Actor ‘meledak’ dalam carta lagu antarabangsa.

Selepas itu, MLTR meraih populariti dengan rangkaian lagu seperti Take Me To Your Heart, 25 Minutes, That’s Why You Go Away dan Paint My Love.

Sepanjang pembabitan mereka, MLTR menghasilkan sembilan album dan 19 album kompilasi.

Album berjudul Still adalah bingkisan kesembilan yang dilancarkan pada Mac 2018 disusuli siri jelajah Asia, kemunculan terakhir sebelum dunia dilanda pandemik COVID-19.

Sepanjang karier lebih tiga dekad, MLTR merangkul pelbagai anugerah emas, platinum dan multiplatinum.

Bukan itu sahaja, kumpulan berasal dari Aarhus itu mencatat jualan lebih 11 juta album di peringkat global dengan lebih enam juta lagu mereka dimuat turun secara berbayar.

Muzik MLTR masih bertahan sehingga hari ini dan terus menjadi pilihan peminat untuk distrim dan ditonton menerusi platform digital.

Sejak kemunculan band ini, MLTR memenangi pelbagai anugerah di banyak negara. Mereka juga mementaskan lebih 600 konsert di seluruh dunia.

Tiket-tiket bagi menyaksikan Konsert MLTR Back On The Road Tour Live In Malaysia boleh didapati menerusi www.rwgenting.com  atau my.bookmyshow.com.

Tiket berharga RM638 untuk kerusi VIP; RM588 (PS1); RM388 (PS2); RM238 (PS3) dan RM158 (PS4) ditawarkan. Semua tiket dikenakan yuran pemprosesan sebanyak RM4.

Pakej hotel turut ditawarkan kepada peminat yang ingin menonton konsert itu sambil bercuti di Resorts World Genting pada harga RM1,358 untuk VIP; RM1,278 (PS1) dan RM1,008 (PS2).

Setiap pakej disertakan dua keping tiket konsert, penginapan satu malam di Bilik Deluxe, Grand Ion Delemen Hotel dan baucar bernilai RM150 untuk makanan dan minuman. Tempahan boleh dibuat dengan melayari www.iondelemenhotels.com. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI