JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) menyatakan bahawa kadar inflasi Indonesia masih berada dalam paras terkawal di tengah-tengah lonjakan yang dialami kebanyakan negara di seluruh dunia, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia semalam.
Laporan dikeluarkan Badan Pusat Statistik mendapati kadar inflasi republik itu adalah 4.9 peratus bagi Julai 2022, meningkat berbanding 4.35 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya.
Bagaimanapun, Jokowi menegaskan bahawa kenaikan inflasi itu masih sesuai dengan unjuran pemerintah.
“Kadar inflasi Indonesia adalah 4.9 peratus, jauh lebih rendah berbanding rata-rata negara ASEAN yang mencatatkan kadar sekitar tujuh peratus.
“Ia juga jauh lebih baik berbanding negara-negara maju yang mencatatkan kadar kira-kira sembilan peratus,” kata Jokowi dalam Sidang Tahunan Majlis Rundingan Rakyat (MPR) Republik Indonesia, kelmarin.
Tambah Jokowi, keadaan inflasi yang terkawal itu disebabkan oleh dasar pemerintah yang menaikkan subsidi tenaga kepada AS$34 bilion (RM151.8 bilion) bagi mencegah kenaikan harga bahan api.
Ini kerana harga minyak mentah Indonesia melonjak daripada unjuran yang digariskan dalam Belanjawan Negara (APBN) iaitu sebanyak AS$63 (RM281) setong kepada AS$100 (RM446) setong.
Justeru, menaikkan bajet subsidi adalah satu-satunya cara untuk mencegah kenaikan harga.
Penjelasan Jokowi itu sekali gus menolak kenyataan Ketua MPR, Bambang Soesatyo yang mendakwa Indonesia akan menghadapi hiperinflasi pada September 2022 selepas kadar bulan Ogos diramal meningkat lima hingga enam peratus. – Agensi