Oleh NAZARUDIN SHAHARI
SEREMBAN – Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menyifatkan Pengasas DAP, Dr. Chen Man Hin yang meninggal dunia hari ini sebagai warganegara Malaysia yang sentiasa cintakan perpaduan kaum dalam karier politiknya.
Beliau berkata, Man Hin menunjukkan sikap itu semasa terbabit secara aktif dalam politik termasuk ketika menjadi calon pilihan raya mewakili DAP.
“Semasa menjadi calon DAP dalam pilihan raya umum bagi kerusi Parlimen Seremban pada 1982, Man Hin tidak menyertai kempen kumpulan di kawasan itu yang tinggi semangat perkauman.
“Mendiang telah datang ke Kampung Paroi dan menyuarakan terus bagaimana orang Cina, India dan Melayu mesti hadir ke acara kenduri secara bersama,” katanya kepada para pemberita di sini hari ini.
Mendiang Man Hin yang juga Penasihat Seumur Hidup DAP meninggal dunia di rumahnya dekat sini kira-kira pukul 5 pagi tadi pada usia 98 tahun.-KOSMO! ONLINE