PETALING JAYA – Tidak tahan diaibkan dan dakwa difitnah tanpa henti, pelakon sensasi Zarina Anjoulie nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu dengan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai, Negeri Sembilan, semalam.
Zarina berkata keputusan dibuat selepas individu dipercayai lelaki terbabit terus berdegil dengan memuat naik beberapa video dalam Facebook yang didakwa mengaibkannya dengan tujuan untuk menaikkan jumlah tontonan.
“Dia telah memuat naik beberapa video tentang saya tanpa henti, bertujuan untuk menaikkan views (tontonan) dia, memalukan dan mengaibkan saya.
“Saya tak nak berbalah-balah macam budak kecik. Saya dah ambil keputusan buat laporan polis,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram Story.
Dalam hantaran tersebut, pemilik nama sebenar Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul menunjukkan fotonya berdiri di hadapan balai polis sambil memperincikan nama dan pelakuan pemilik akaun berkaitan.
Luah pelakon yang selesa disapa Anju itu lagi, dia terklebih dahulu memberi amaran kepada pemilik akaun berkenaan, namun fitnah masih berterusan hingga membuatkannya nekad berjumpa pihak berwajib.
Katanya lagi, lebih baik dia menghentikan pertelagahan dalam media sosial yang diumpamakan sebagai permainan hanya untuk anak kecil.
“Saya mengambil keputusan untuk teruskan tindakan saman dan sudah membuat laporan polis. Kita akan pasang peguam untuk mengambil tindakan,” katanya.
Menurut bintang Hantu Kuat Ketawa itu, bapa saudaranya serta seorang individu lain berjawatan sebagai doktor turut menjadi mangsa individu sama yang membuatkan mereka bersatu mengajukan tindakan saman.
“Buat apa nak maki, gaduh kalau kita boleh guna saluran yang betul. Undang-undang ada, ikut saluran yang betul. Ramai orang suka berlakon gila demi kepentingan sendiri.
Saya, doktor dan pak cik saya akan bergabung untuk teruskan dengan tindakan saman serta ambil undang-undang terhadap individu ini,” tegasnya.
Begitupun, dia tidak menjelaskan perincian dengan lebih lanjut mengenai isu yang tercetus di antaranya dengan individu dimaksudkan. – KOSMO! ONLINE