PETALING JAYA – Affin Bank Berhad (Affin Bank) menerima dua pengiktirafan atas kejayaan bank menawarkan produk inklusif kewangan berfokus, termasuk aplikasi mudah alih, SME Colony yang mula dilancarkan pada tahun 2019.
Aplikasi mudah alih SME Colony menerima kemenangan pertamanya sebagai Inisiatif Inklusif Kewangan Tahunan – Malaysia daripada Asian Banking & Finance (ABF) Retail Banking Awards.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, sebagai aplikasi mudah alih PKS yang berteraskan komuniti pertama di Malaysia, SME Colony menyokong pengembangan dan kesinambungan PKS dengan meningkatkan pengetahuan perniagaan mereka, mengukuhkan kesejahteraan kewangan dan memperluaskan rangkaian komersial mereka.
Menurut beliau, SME Colony menyediakan perkhidmatan pelanggan yang tiada tandingan kepada semua penggunanya tanpa kos, tanpa syarat keahlian dan tanpa mengira hubungan perbankan pelanggan.
“Kemenangan ABF Retail Banking Awards ini adalah penunjuk bahawa Affin Bank telah mendahului lengkung dengan memulakan perjalanannya melangkaui perbankan untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan PKS secara digital.
“Kami sentiasa konsisten mengemas kini keupayaan aplikasi tersebut untuk membantu PKS menggilap celik kewangan pelanggan dan menggalakkan penggunaan digital dalam operasi perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Selain itu, Affin Islamic Bank pula dipilih sebagai penunjuk demonstrasi komitmen dan sokongan bank kepada syarikat pemula niaga dan Perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ia merupakan pencapaian yang menaikkan Affin Islamic sepanjang pandemik untuk membantu syarikat pemula niaga dan PKS memulihkan perniagaan, menjadikan perniagaan mereka lebih berdaya tahan dan menerima pakai pendigitalan. -KOSMO! ONLINE