KIEV – Ukraine akan melaksanakan undang-undang membenarkan pemilikan senjata api oleh rakyatnya dalam masa terdekat ketika perang antara Kiev dan Moscow berterusan, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Denis Monastirsky kepada media tempatan Sabtu lepas.
Monastirsky berkata, parlimen Ukraine akan membenarkan rakyatnya membeli pistol dan senjata api lain untuk melindungi kediaman mereka. Beliau percaya orang ramai berhak berbuat demikian, namun menentang pemberian hak kepada orang ramai untuk membawa senjata di khalayak ramai.
“Kami menentang hak untuk membawa senjata api secara bebas di tempat awam, kerana kami percaya risiko kepada keselamatan awam adalah lebih tinggi berbanding manfaatnya,” kata Monastirsky sambil menambah, kementeriannya telah bekerjasama dengan Parlimen Ukraine mengenai isu itu, manakala undang-undang tersebut akan dikuatkuasakan tidak lama lagi.
“Undang-undang tersebut diluluskan dalam bacaan pertama dan sedang disediakan untuk bacaan kedua,” ujarnya.
Rang undang-undang kawalan senjata yang diluluskan oleh Parlimen Ukraine pada akhir Februari lalu iaitu sejurus sebelum Moscow melancarkan operasi ketenteraannya, membenarkan rakyat negara itu membeli dan menyimpan senjata api berlaras pendek di rumah, serta menggunakannya di padang sasar.
Pada Mac lalu, Monastirsky mengumumkan bahawa pihak berkuasa Ukraine telah mengagihkan ‘berpuluh-puluh ribu’ raifal tempur kepada orang awam dalam langkah untuk menjadikan orang ramai sebagai pasukan pertahanan awam dalam menentang pencerobohan tentera Russia.
Pada masa itu, Kiev juga mengumumkan akan membebaskan penjenayah berpengalaman dalam pertempuran yang bersetuju untuk mengangkat senjata dan melawan Tentera Russia.
Menurut laporan media, pada 24 Februari lalu sahaja pihak berkuasa Kiev menyerahkan sekurang-kurangnya 10,000 raifal automatik dalam kalangan penduduk. – Agensi