PETALING JAYA – “Janganlah diulangi lagi oleh mereka yang nak buat teater besar terutama sekali di Istana Budaya, sudah sudahlah nak mempermainkan teater.”
Demikian antara luahan kekecewaan pelakon Eyzendy Aziz selepas pementasan teater Muzikal Moyang Salleh yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya pada penghujung Ogos nanti telah pun dibatalkan.
Lebih mengecewakan pelakon yang mesra disapa Along, pembatalan pementasan teater muzikal arahan Roslee Mansor melibatkan banyak pihak terutama para pelakon yang telah memberikan komitmen penuh sejak menandatangani kontrak persetujuan.
“Assalamualaikum semua. Dengan dukacita saya memaklumkan bahawasanya persembahan Muzikal Moyang Salleh yang dijadualkan pementasannya pada akhir Ogos ini telah pun dibatalkan.
“Walaupun kontrak telah pun ditandatangani oleh hampir 90 peratus ahli yang terlibat dan promosi telah pun dibuat oleh para pelakon, namun ternyata rezeki tidak menyebelahi kami,” katanya menerusi luahan yang dibuat dalam Facebook miliknya.
Tambah Along lagi, para pelakon dan kru produksi lain juga sudah mengosongkan jadual bahkan menolak tawaran pekerjaan lain bagi menumpukan pementasan muzikal yang sepatutnya dipentaskan pada 26 Ogos sehingga 31 Ogos 2022 nanti.
“Paling tidak seronok sekali apabila semua yang terlibat telah memberikan komitmen seperti datang latihan, hafal skrip dan terpaksa menolak tawaran berlakon yang lain semata-mata untuk menjayakan persembahan ini. Namun sia-sia,” tulisnya.
Bagaimana, Along enggan memberitahu masalah yang berlaku kerana mendakwa perkara itu melibatkan maruah dan air muka mereka yang bertanggungjawab.
“Apakah sebab dan musababnya tidak perlulah saya nyatakan di sini kerana melibatkan maruah dan air muka mereka yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Dalam pada itu, Along yang juga seorang penggiat seni teater berharap semoga perkara seumpama itu tidak lagi berulang kepada pihak lain yang mahu melakukan pementasan teater besar terutama di Istana Budaya.
Umum tahu, produksi di Istana Budaya memerlukan kos tinggi dan perancangan terperinci. Ibaratnya, jika kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak direnangi.
Perkongsian Along turut mendapat perhatian dalam kalangan rakan-rakan artis antaranya Azhan Rani, Nam Ron dan Fauziah Nawi yang turut menzahirkan rasa dukacita.
“Allahuakbar. Aku hampir terjebak projek ni Along. Semoga Allah SWT berikan kekuatan dan rezeki yang baik buat kalian semua,” tulisnya.
“Turut berdukacita atas apa yang berlaku,” kata Nam Ron.
Muzikal Moyang Salleh diuar-uarkan kepada media sebelum ini sebagai teater pertama yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya.
Pementasan teater muzikal berkenaan berdasarkan legenda seorang pemimpin bernama Moyang Salleh yang mengetengahkan konsep perjuangan, pengorbanan, seni dan budaya masyarakat Melayu Negeri Sembilan suatu ketika dahulu.
Teater Muzikal Moyang Salleh menampilkan pelakon hebat seperti Datuk Ahmad Tarmimi Siregar sebagai Moyang Salleh, Khir Rahman (Sultan Abdul Jalil Muazam Shah), Along (Si Amat), Eliza Mustapa (Moyang Timah), Hairi Safwan (Dato Bendahara) dan Mubarak Majid sebagai Datuk Temenggung. – KOSMO! ONLINE