fbpx

Projek LCS terhenti sendiri, bukan dihentikan BN, PH atau PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kah Woh (dua kanan) pada program Diskusi Rakyat: LCS - Pertahanan Negara Yang Dieksploitasi di Seri Manjung semalam.

LUMUT – Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh menegaskan pemberhentian projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah disebabkan Boustead Naval Dockyard Sdn. Bhd. (BNS) sudah ‘kehabisan duit’ bagi melaksanakannya.

Beliau berkata, ia bukan disebabkan oleh kerajaan memerintah sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

“Ia terhenti dengan sendiri apabila BNS tidak mampu membayar vendor, pembekal dan kontraktor yang terlibat walaupun kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek tersebut.

“Dalam prosiding PAC, pihak pengurusan BNS sendiri mengakui syarikat itu menghadapi masalah kewangan serius sehingga terpaksa mengurangkan gaji kakitangannya,” katanya pada program Diskusi Rakyat: LCS – Pertahanan Negara Yang Dieksploitasi di Seri Manjung, dekat sini semalam.

Ketika ini, isu LCS menjadi medan pertelagahan politik apabila pemimpin daripada kalangan BN, PH dan PN saling salah menyalahkan antara satu sama lain sebagai punca projek itu tidak dapat disiapkan walaupun sepatutnya kapal pertama LCS diserahkan pada 2019.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Kah Woh memaklumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif BNS yang baharu, Azhar Jumaat ketika prosiding bersama PAC mengakui terdapat salah urus kewangan yang serius oleh pihak pengurusan lama sehingga menyebabkan situasi yang berlaku pada hari ini.

Jelas Kah Woh, dapatan PAC mendapati terdapat perbelanjaan yang digunakan bukan untuk pembinaan kapal berjumlah RM1.4 bilion meliputi pembayaran hutang lapuk projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) berjumlah RM400 juta, membina fasiliti atau bangunan di Cyberjaya bernilai RM305 juta dan kos di luar jangka berjumlah RM700 juta.

“Begitu juga dengan kerugian yang dialami oleh BNS akibat membayar harga mahal sehingga empat kali ganda menerusi’letter of award’ bernilai RM3.3 bilion kepada syarikat sub-kontraktor, Contraves Advanced Devices Sdn. Bhd. (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn. Bhd.(CED).

“Bagi pihak PAC, kita berpendapat memang berlaku salah laku amat serius khasnya daripada aspek kewangan, sebab itu kita mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan dan pendakwaan mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI