fbpx

Lawatan mengejut delegasi AS ke Taipei cetus kemarahan Beijing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GARAMENDI (kiri) berjabat tangan dengan diplomat Taiwan, Yu-tien Hsu sejurus tiba di Lapangan Terbang Sungshan, Taipei kelmarin. - AFP

TAIPEI – Sebuah delegasi Kongres Amerika Syarikat tiba di Taipei, kata pegawai-pegawai, beberapa hari selepas China mengadakan latihan ketenteraan di sekitar Taiwan sebagai tindak balas terhadap kunjungan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi.

Kunjungan kelmarin tidak diumumkan dan berlaku selepas Pelosi mencetuskan api kemarahan Beijing apabila melawat Taiwan awal bulan ini. Lawatan Pelosi dibalas Beijing dengan latihan tentera besar-besaran di udara dan laut yang belum pernah berlaku sebelum ini sekali gus mengundang risiko konflik.

China turut bertindak balas terhadap lawatan terbaharu delegasi AS dengan agensi berita rasmi, Xinhua menerbitkan laporan bertajuk: “Ahli politik AS harus berhenti bermain api berhubung isu Taiwan.”

Delegasi lima anggota diketuai Senator Massachusetts, Ed Markey itu akan bertemu Presiden Tsai Ing-wen dan menghadiri jamuan yang dianjurkan oleh Menteri Luar Joseph Wu semasa kunjungan tersebut, demikian menurut Kementerian Luar Taiwan.

Mereka akan membincangkan hubungan AS-Taiwan, keselamatan serantau, perdagangan dan pelaburan, rangkaian bekalan global, perubahan iklim dan isu penting lain yang mempunyai kepentingan bersama”, demikian menurut Institut Amerika di Taiwan dalam satu kenyataan.

Taiwan memuji lawatan delegasi itu sebagai satu lagi tanda hubungan mesra antara Taipei dan Washington.

“Kementerian Luar Taiwan mengucapkan selamat datang (kepada delegasi).

“Memandangkan China terus meningkatkan ketegangan di rantau ini, Kongres AS sekali lagi menganjurkan delegasi kanan untuk melawat Taiwan demi persahabatan dan tidak takut terhadap ancaman serta ugutan China sebagai bukti sokongan kuat Washington kepada Taipei,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan kelmarin.

Anggota delegasi lain ialah merupakan wakil rakyat Parti Demokrat, John Garamendi dan Alan Lowenthal dari California, Don Beyer dari Virginia dan wakil Samoa Amerika, Aumua Amata Coleman Radewagen.

China menganggap Taiwan sebagai wilayahnya dan akan merampasnya secara paksa jika perlu. Selama seminggu selepas lawatan Pelosi, Beijing menghantar sejumlah kapal perang, peluru berpandu dan jet ke perairan dan ruang udara di sekitar Taiwan.

Dalam ulasan kelmarin mengenai lawatan delegasi Kongres itu, Xinhua menyatakan, wakil-wakil rakyat AS yang melawat Taiwan adalah individu oportunis memikirkan kepentingan politik mereka sendiri ketika pilihan raya separuh penggal pada November ini semakin hampir.

“Ahli-ahli politik AS yang bermain api dalam isu Taiwan harus membuang angan-angan mereka.

“Tiada ruang untuk tolak ansur atau beralah apabila melibatkan kepentingan utama China,” kata Xinhua

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Taiwan menyatakan kelmarin bahawa pihaknya telah mengesan 22 pesawat tentera dan enam kapal perang China beroperasi di sekitar Selat Taiwan. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI