PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi memberi advokasi kepada orang awam mengenai sindiket penipuan kerja di negara asing.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, advokasi itu antara lain memberi peringatan kepada orang awam supaya berhati-hati dengan sebarang tawaran kerja meragukan dan gaji lumayan.
Beliau berkata, sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) banyak berkongsi tips dan nasihat mengenai sindiket tipu kerja menerusi laman web rasminya.
“Kami tidak mempunyai kuasa untuk menghalang rakyat tempatan melawat dan bekerja di luar negara kecuali nama mereka berada dalam senarai tidak boleh keluar negara.
“Jika individu itu tiada sebarang rekod jenayah atau tidak pernah ada sebarang halangan maka JIM tidak boleh halang mereka keluar negara,” katanya ketika ditemui selepas majlis pra-pelancaran program ‘Immigration Run’ 2022 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan beberapa kes warga tempatan menjadi mangsa ditipu sindiket penipuan kerja khususnya di Kemboja akhir-akhir ini.
Sementara itu, Khairul berkata, pihaknya menyasarkan 3,000 penyertaan bagi Immigration Run 2022 yang dijadual berlangsung pada 4 September depan di Putrajaya.
Menurutnya, penganjuran kali ketiga itu diadakan bersempena dengan sambutan Hari Imigresen 2022 dan sambutan Bulan Kemerdekaan.
“Antaranya aktiviti lain dirancang termasuk pameran agensi kerajaan, jualan trak makanan dan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik.
“Larian ini merangkumi tiga kategori terbuka iaitu jarak 5 kilometer (KM) untuk larian santai, 10KM dan 15KM untuk kategori terbuka dan peserta veteran.
“Pendaftaran kini telah dibuka melalui laman web TICKET2U dengan harga bayaran dari RM50.00 hingga RM75.00 mengikut kategori yang dipohon.
“Setiap peserta akan dibekalkan set ‘race kit’, iaitu baju jersi larian, medal penamat, makanan, bib nombor, beg, e-sijil serta pemenang setiap kategori yang dipertandingkan akan diberikan hadiah wang tunai dan trofi,” katanya. – KOSMO! ONLINE