DHAKA – Bangladesh yang merupakan antara ekonomi paling pantas berkembang, bertindak menaikkan harga bahan api lebih 50 peratus dalam masa seminggu, lapor badan penyiaran Britain kelmarin.
Dhaka menyalahkan perang di Ukraine sebagai punca kenaikan mendadak harga bahan api termasuk petrol, diesel dan gas.
Seorang penduduk Dhaka, Mohammad Nurul Islam berkata, dia bimbang kerana mungkin terpaksa mengemis sedikit masa lagi sekiranya harga barang dan komoditi asas terus meningkat.
Kenaikan harga bahan api di luar jangkaan itu menyaksikan harga petrol di Bangladesh meningkat daripada 86 taka (RM4.06) satu liter kepada 130 taka (RM6.07) seliter.
Harga Diesel dan minyak tanah pula meningkat sebanyak 42.5 peratus.
Kenaikan mendadak itu menyebabkan Mohammed, 35, yang bekerja untuk sebuah syarikat pengangkutan sejak sembilan tahun lalu, bergelut untuk membeli barangan asas.
Dia terpaksa menyara dua anak kecil dan ibu bapa tetapi majikannya tidak mampu membayar gaji penuh buat asa ini dan kini, harga bahan api pula melonjak.
“Apabila saya pergi ke pasar, saya tidak mampu membeli makanan mencukupi untuk keluarga saya. Sekiranya harga bahan api terus meningkat, saya tidak dapat menyara ibu bapa atau menghantar anak ke sekolah.
“Saya mungkin hilang kerja, saya mungkin terpaksa mengemis di jalanan,” katanya.
Selain dirinya, ramai lagi di negara yang mempunyai lebih 168 juta penduduk itu berdepan situasi serupa.
Seperti banyak negara lain, Bangladesh menerima impak daripada kenaikan harga minyak global berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Dalam pada itu, Menteri Tenaga Bangladesh, Nasrul Hamid menafikan dakwaan kesilapan tadbir urus kerajaan sebagai punca harga komoditi asas meningkat di negaranya.
“Sekiranya hara global turun, sudah tentu kami akan melakukan penyesuaian (menurunkan harga),” katanya.
Pada Julai lalu Bangladesh menjadi negara Asia Selatan ketiga yang meminta pinjaman Dana Kewangan Antarabangsa selepas Sri Lanka dan Pakistan. – Agensi