MELAKA – Seorang wanita warga emas sanggup menghabiskan duit simpanannya lebih RM60,000 semata-mata untuk menghias rumah pusakanya dengan pelbagai hiasan bertemakan kemerdekaan sejak 21 tahun lalu.
Menurut Rahimah Tompang, 68, dia mula berjinak-jinak dalam hiasan landskap itu pada tahun 2001 dan menghabiskan sekitar RM5,000 setiap kali menyambut bulan kemerdekaan.
“Memang saya minat sangat menghias rumah dengan bendera-bendera jalur gemilang ini, selain tu saya gunakan tempurung kelapa, tayar, plastik dan pelbagai lagi barangan antik yang diambil dari ahli keluarga.
“Saya akan habiskan RM2,000 untuk mengecat rumah dan warnakan semua hiasan ini dengan warna jalur gemilang, selain tu saya juga pamerkan beberapa busana Melayu tradisional dan barangan lama yang mempunyai nilai seni budaya Melayu,” katanya ketika ditemui pemberita.
Jelasnya, kesemua kos yang digunakan untuk menghias rumah tersebut adalah hasil simpanan wang belanja diberikan oleh 14 orang anak-anaknya pada setiap bulan.
“Anak-anak pun faham minat saya, kadang-kala mereka tanya ada duit belanja ke tidak, saya cakap tak ada tetapi mereka tahu saya ingin menyimpan untuk bulan kemerdekaan.
“Saya akan beli pelbagai barangan hiasan dan mula menghias rumah pada awal bulan Ogos setiap tahun menggunakan simpanan tersebut,” katanya sambil ketawa.
Ujarnya lagi, rumah pusaka berusia lebih 100 tahun itu merupakan salah sebuah kediaman di bawah kelolaan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan turut dijadikan lokasi pelancongan oleh kerajaan negeri.
Katanya, dia juga pernah diberikan penghargaan oleh sebuah pertubuhan kebudayaan dari China bagi ketegori Hero Melaka, Malaysia ; Pemuliharaan Budaya Melayu bersama-sama wang sumbangan bernilai RM45,000 sebagai tanda sokongan.
Rahimah berkata, kediamannya itu turut dijadikan lokasi kajian bagi penuntut universiti termasuk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). – KOSMO! ONLINE