LONDON – Tottenham Hotspur bernasib baik untuk membawa pulang satu mata selepas seri 2-2 menentang Chelsea pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Stamford Bridge malam kelmarin.
Dua gol menerusi jaringan Pierre-Emile Hojbjerg dan Harry Kane memastikan mereka bangkit dua kali pada perlawanan itu bagi memadam gol tuan rumah hasil jaringan Kalidou Koulibaly dan Reece James.
Pengurus Spurs, Antonio Conte percaya, masih banyak yang perlu dilakukan skuad kendaliannya jika mahu mencapai taraf permainan seperti ditampilkan Chelsea pada perlawanan tersebut.
“Saya perlu jujur, Chelsea merupakan pasukan yang jauh lebih baik berbanding kami pada perlawanan hari ini (kelmarin). Mungkin musim lalu kami sudah bermain baik, tetapi jika mahu beri masalah kepada Chelsea, kami perlu tampilkan aksi lebih baik.
“Saya tetap gembira kerana kami berjaya jaringkan dua gol kerana dalam tiga perlawanan terdahulu, kami gagal untuk lakukan jaringan. Pulang dengan satu mata adalah satu keputusan yang adil bagi kami,” katanya.
Dalam pada itu, Conte enggan mengulas insiden panas yang melibatkan beliau dengan pengurus Chelsea, Thomas Tuchel selepas wisel penamat sehingga menyebabkan mereka dilayangkan kad merah.
“Perkara itu (pergaduhan dengan Tuchel) tidak penting kerana kami datang untuk bermain bola sepak. Semua orang tahu perlawanan ini berintensiti tinggi dan kedua-dua pasukan mahu dapatkan kemenangan,” ujar beliau. – AGENSI