fbpx

Anak kelahiran China Amerika minat, kumpul tekstil Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOHN ANG berpindah ke Malaysia setelah terpikat dengan tekstil Melayu.

BUSANA budaya Melayu klasik seperti songket dan batik cukup terkenal dengan hasil kerja yang cantik dan memukau.

Penggunaan teknik jahitan seperti tekat dan juga tenunan menjadikan fabrik Melayu unik dengan harga yang boleh mencecah ribuan ringgit.

Tidak hairanlah, minat yang mendalam terhadap seni tekstil Melayu mendorong John Ang, anak kelahiran Cina Amerika berpindah ke Malaysia pada 2018 bagi lebih memahami dan mendalami sejarah seni tekstil Melayu.

John yang sebelum ini merupakan Pengarah Galeri Samyama, Taiwan selama 28 tahun mula mengumpul tekstil Melayu yang seterusnya dipamerkan pada Pameran Splendours of Malay World Textiles yang dilancarkan di Menara Ken, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Bagi pameran yang berlangsung sehingga 30 Oktober depan, pengunjung berpeluang melihat sendiri 12 kategori tekstil warisan alam Melayu milik John.

“Saya mula mengumpul tekstil Melayu pada 2014 dan sejak itu, saya terus terpikat dengan keindahan juga kerumitan tekstil Melayu.

“Secara tidak langsung, minat terhadap tekstil itu juga mendorong dan menyemarakkan semangat saya untuk menjelajah ke serata pelosok Asia.

“Ia bagi mencari dan mengkaji hasil sejarah tekstil Melayu yang dilihat pada pelbagai jenis busana, sama ada pada zaman dahulu dan juga masa kini,” katanya.

Antara busana Melayu klasik yang dipamerkan pada pameran tekstil John Ang.

Tambah John, antara tekstil yang dipamerkan dalam pameran tersebut termasuk songket, limar, telepuk, tekatan, pelangi, Ikat Loseng, tenunan, linangkit, cetakan, batik, renda dan anyaman.

Selain melihat fabrik koleksi John, pengunjung juga turut berpeluang melihat secara dekat seleksi busana klasik Melayu seperti baju kurung Pahang dan baju kebaya yang dihasilkan John menggunakan tekstil-tekstil tersebut.

Pengunjung juga boleh melihat persembahan sketsa, yang mana pelakonnya memakai busana tradisional Melayu iaitu selendang polos dengan sulaman benang emas dikenali Tudong Keringkam Manto.

Ia yang dipadankan dengan busana baju kurung kain songket tenunan benang emas menyerlahkan sisi elegan busana Melayu klasik.

Selain pameran busana Melayu klasik, acara itu juga disertai dengan pelbagai bengkel kerja dan ceramah menarik mengenai seni tekstil Melayu.

Menurut kurator Muzium Koleksi Tekstil, Lee Talbot, pameran tersebut mampu menunjukkan kepada orang ramai tentang nilai estetika yang ada pada fabrik Melayu.

“Menghasilkan tekstil yang hebat dari segi teknikal dan tinggi nilai estetikanya merupakan antara kejayaan yang telah kita capai, namun ia masih lagi tidak dikaji dengan mendalam.

“Tambahan pula, dunia hari ini menggunakan mesin untuk pengeluaran tekstil secara besar-besaran. Jadi, kebanyakan orang masih tidak memahami makna dan pengertian hasil tekstil zaman dahulu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI