fbpx

40 atlet cemerlang Johor dapat habuan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA atlet Johor yang cemerlang dipentas antarabangsa menerima habuan insentif masing-masing yang diberikan oleh kerajaan negeri.

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

JOHOR BAHRU – Seramai 40 atlet Johor yang mengharumkan nama negara dengan menuai pingat di Sukan SEA Vietnam 2021 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022 menerima insentif daripada kerajaan negeri dengan jumlah keseluruhan RM163,000.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemberian insentif berkenaan adalah sebagai tanda pengiktirafan kerajaan Negeri di atas hasil titik peluh mereka menjulang nama negara.

Beliau berkata, penghargaan dalam bentuk ganjaran wang tunai ini wajar diberikan setelah atlet kelahiran Johor berhempas pulas bagi mempamerkan prestasi yang membanggakan.

Tambahnya, kerajaan Negeri melihat ada keperluan untuk meningkatkan lagi nilai pemberian insentif pada masa akan datang sebagai pembakar semangat untuk terus melakar kejayaan.

“Insentif untuk mereka perlu kita tingkatkan lagi sebagai tanda pengiktirafan hasil titik peluh mereka untuk harumkan negara kita cintai. Kita akan tengok balik insentif-insentif supaya mereka lebih bermotivasi untuk berkecimpung dalam arena sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Johor Sukan SEA 2021, Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Penyampaian Bantuan Pentadbiran Badan-Badan Gabungan MBNJ 2022, di sini malam kelmarin.

Pada Sukan SEA 2021, seramai 26 atlet Johor menyumbang tiga pingat emas, tujuh perak dan 15 gangsa yang membolehkan atlet meraih emas menerima insentif RM4,000, diikuti RM2,000 bagi perak dan RM1,500 untuk gangsa.

Bagi Sukan Komanwel Birmingham pula, enam atlet Johor meraih dua emas, dua perak dan dua gangsa dengan insentif bagi emas berjumlah RM16,000, perak RM12,000 dan gangsa RM8,000 serta tambahan RM2,000 bagi insentif penyertaan.

Pada majlis itu, jaguh badminton muda negara, Ng Tze Yong membawa pulang insentif RM28,000 selepas meraih satu emas dan perak menerusi acara individu dan berpasukan campuran di Sukan Komanwel.

Atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan pula menerima insentif RM18,000 keseluruhan setelah menghadiahkan negara emas pertama di Sukan Komanwel dalam acara angkat berat kategori 55 kilogram (kg) lelaki dengan jumlah angkatan 249kg. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI