BESUT – Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti sebanyak 11 lokasi pusat peranginan dan perkelahan di dua buah daerah di negeri ini yang berisiko untuk berlaku kejadian kepala air.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II Mohd. Wildan Azhari berkata, dua daerah tersebut adalah Kuala Krai dan Jeli yang menjadi tumpuan orang ramai untuk berkelah di kawasan sungai dan air terjun.
Menurutnya, lokasi-lokasi yang dikenalpasti di Kuala Krai iaitu Sungai Kenderong, Air Terjun Gunung Stong, Sungai Rantai Gunung Stong, Air Terjun Lata Golok Sungai Durian, Air Terjun Lata Berangin, Air Terjun Lata Rek, Air Terjun Lata Y dan Air Terjun Istana Sangkut.
“Di Jeli pula, hanya tiga kawasan yang berkemungkinan akan berlaku kepala air iaitu Sungai Pergau, Air Terjun Lata Janggut dan Air Terjun Renyut.
“Lokasi-lokasi tersebut menjadi tumpuan JBPM Kelantan terutamanya ketika musim hujan dan tengkujuh. Kita turut mengadakan pembaharuan dan kajian mengenai insiden kepala air terutamanya dalam aspek menyelamat mangsa ketika menghadapi situasi berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Kursus Pengukuhan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di Pulau Perhentian di sini semalam.
Kursus selama empat hari bermula Sabtu lalu itu melibatkan seramai 30 anggota PPDA JBPM Kelantan dari tiga buah balai iaitu, Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Pengkalan Kubor dan Pengkalan Chepa.
Mengulas lanjut, menurut Mohd. Wildan, JBPM Kelantan mempersiapkan segala kelengkapan termasuk kenderaan logistik bagi menghadapi kejadian kepala air di lokasi yang telah dikenalpasti itu.
Katanya, kejadian kepala air di Baling, Kedah baru-baru ini wajar dijadikan sebagai pengajaran agar JBPM Kelantan dapat mengambil langkah proaktif bagi menghadapi insiden terbabit. – KOSMO! ONLINE