fbpx

Wanita Afghanistan tuntut hak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wanita Afghanistan yang menyertai tunjuk perasaan memegang sepanduk ketika berarak di Kabul kelmarin. – AFP

KABUL – Tentera Taliban menyuraikan berpuluh-puluh penunjuk perasaan wanita di Kabul, Afghanistan dengan cara melepaskan tembakan ke udara, hampir setahun selepas kumpulan itu merampas kuasa, lapor Badan Penyiaran British (BBC) semalam.

Kira-kira 40 wanita berarak di ibu kota Afghanistan bagi menuntut hak-hak mereka sebelum Taliban bertindak menyuraikan perhimpunan tersebut.

Telefon bimbit milik peserta turut dirampas ketika menghentikan protes yang diadakan selepas tempoh beberapa bulan.

Sejak pengambilalihan Taliban daripada kerajaan terdahulu yang disokong Amerika Syarikat, hak-hak wanita di Afghanistan dilaporkan telah disekat dengan ketat.

Penunjuk perasaan melaungkan slogan ‘roti, kerja dan kebebasan’ selain membawa sepanduk bertulis ‘15 Ogos adalah hari hitam’ yang merujuk kepada hari Taliban menawan Kabul pada 2021.

“Mereka (Taliban) tidak banyak memukul kami kali ini. Mereka bertindak berbeza daripada protes terdahulu di mana kami dibelasah.

“Mereka melepaskan tembakan ke udara. Kami menjadi takut untuk tampil memperjuangkan hak kanak-kanak perempuan agar Taliban sekurang-kurangnya membuka sekolah untuk mereka,” kata salah seorang penunjuk perasaan kepada BBC.

Sejak kembali berkuasa, pemerintahan Taliban telah mengeluarkan pelbagai arahan dalam menyekat kebebasan wanita termasuk menghalang mereka daripada menjawat jawatan dalam sektor kerajaan, halangan mendapat pendidikan menengah serta larangan perjalanan melebihi  70 kilometer tanpa penjaga lelaki.

Pada Mei lalu, kumpulan itu turut memutuskan bahawa wanita Afghanistan perlu memakai burka buat pertama kali dalam beberapa dekad.

Jika enggan mematuhi peraturan tersebut, penjaga lelaki berdepan dengan hukuman penjara selama tiga hari.

Meskipun Taliban berikrar untuk memelihara hak-hak wanita ketika mula mengambil alih Kabul setahun lalu, ia secara berperingkat melaksanakan larangan-larangan dan sekatan.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan golongan wanita meminta bantuan masyarakat dunia untuk melindungi mereka di samping melakukan beberapa protes.

“Selepas setahun kerajaan Taliban berkuasa, masih tiada perubahan dalam keadaan ini. Kami ingin menunjukkan bahawa kaum wanita tidak akan berdiam diri.

“Adalah penting untuk kami memberitahu seluruh dunia bahawa rakyat Afghanistan tidak bersetuju dengan tindakan mereka (Taliban). Kami akan berdiri teguh bagi melawan ketidakadilan,” kata seorang peserta. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI