LAS VEGAS, NEVADA – Banjir kilat sekali lagi melanda jalan-jalan utama di Las Vegas, negeri Nevada, sehingga menyebabkan air mencurah-curah memasuki bahagian dalam kasino, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Bencana alam itu berlaku dua minggu selepas beberapa kasino terkenal seperti Circa Resort, Caesars Palace, Planet Hollywood Casino dan Hotel LINQ dinaiki air akibat hujan monsun.
Pengguna di media sosial memuat naik beberapa rakaman menunjukkan air hujan mencurah-curah di bahagian dalam kasino sehingga membasahi meja judi.
Dalam satu video, air dilihat membanjiri lantai selepas menembusi skrin di Circa Resort & Casino. Sebuah lagi rakaman memaparkan siling Caesars Palace bocor dan menumpahkan air hujan.
Air bah dalam masa sama membanjiri garaj tempat letak kereta Hotel LINQ serta menghanyutkan pelbagai objek ringan.
Sementara itu, Planet Hollywood turut digenangi air serta mempunyai lubang besar pada siling akibat hujan lebat.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) mengeluarkan amaran banjir Khamis lalu sejurus selepas waktu tengah malam.
Agensi itu memberi amaran berkenaan hujan lebat, banjir dan kilat yang kerap.
Las Vegas dilanda hujan 14.7 milimeter (mm) pada Khamis lalu, menjadikan jumlah taburan hujan musim tengkujuh kepada 32.5 mm, kata NWS. – Agensi