BANGKOK – Polis Thailand menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam jenayah samun selepas suspek memuat naik video di laman TikTok memaparkan dia menayangkan wang tunai yang banyak, lapor laman berita Thaiger semalam.
Berdasarkan video tersebut, suspek berusia 29 tahun dari wilayah Chon Buri itu memegang wang yang banyak dan mendakwa, duit itu adalah hasil kerja kerasnya.
Menurutnya, wang itu diperoleh kerana dia rajin bangun pagi untuk pergi bekerja.
Bagaimanapun, berdasarkan paparan video itu, polis mengenal pasti lelaki berkenaan sebagai suspek kes samun.
Selepas menggeledah rumahnya, polis menemui cek bernilai 32 juta baht (RM4 juta) dan wang tunai berjumlah 220,000 baht (RM27,597).
Lelaki itu kemudian didakwa terlibat dalam kes rompakan sebuah perniagaan tempatan, Kiattithayakorn Metal Co. dalam kejadian pada 11 Ogos lalu.
Berdasarkan rakaman kamera keselamatan, suspek dilihat memakai pakaian yang sama seperti dalam video TikTok tersebut ketika merompak premis berkenaan.
Dia kemudian ditahan dan didakwa atas kesalahan menyamun, selepas mendedahkan dirinya sendiri menerusi video di TikTok. – Agensi