fbpx

Pendidikan TVET berkesan, kadar kebolehpasaran melebihi standard nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kadar kebolehpasaran graduan lulusan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah melebihi paras standard nasional yang ditetapkan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu dinilai menerusi kadar semasa purata kebolehpasaran graduan TVET iaitu 87.67 peratus melebihi petunjuk prestasi utama (KPI) nasional yang ditetapkan pada 86.7 peratus yang perlu dicapai pada 2025.

“Paras standard ini secara tidak langsung mencerminkan pendidikan TVET yang dibekalkan oleh KPLB termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berupaya menyediakan laluan kerjaya yang cerah kepada graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr. Azhar Ahmad mengenai keberkesanan pendidikan TVET di KPLB dari aspek kebolehpasaran serta sumbangan kepada pembangunan negara di Dewan Negara hari ini.

Mahdzir berkata, pelajar-pelajar TVET di aras tinggi juga dilengkapkan dengan lesen profesional yang diiktiraf antarabangsa membolehkan graduan mendapat pekerjaan di peringkat global.

“Selain itu, institusi TVET turut giat menerapkan aplikasi Revolusi Industri 4.0(IR4.0) seperti internet pelbagai benda (IoT), kecerdasan buatan dan sekuriti siber menerusi program yang ditawarkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, inisiatif yang dirancang oleh semua institusi di bawah KPLB berupaya meningkatkan lagi keberkesanan pendidikan TVET secara keseluruhan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI