PASIR SALAK – Sebut sahaja Dodol Opah Yang, pastinya jenama itu telah dikenali penduduk Kampung Gajah, Perak dan juga peminat makanan tradisional ini selepas video pengasasnya menjadi tular di media sosial semasa pandemik Covid-19.
Perniagaan dodol yang diusahakan oleh Saerah Abdul Majid, 79, atau lebih dikenali sebagai Opah Yang ini sudah berusia puluhan tahun yang bermula daripada proses memasak dodol menggunakan kawah dan dapur kayu api sekitar tahun
70-an.
Ketika itu, usahawan tersebut berada dalam usia remaja mula belajar memasak daripada ibunya secara tradisional.
Bersandarkan pengalamannya itu, beliau berjaya menghadapi cabaran getir semasa pandemik Covid-19 dan produknya Dodol Opah itu terus bertahan dan permintaan daripada pelanggan tidak pernah surut malah rezekinya semakin bertambah.
Menurut Opah Yang, sokongan daripada ahli keluarga terutamanya anak perempuan yang juga memegang jawatan Pengurus Operasi Era Empai Maju Enterprise, Normi Mohd Ramli banyak melancarkan lagi operasi perniagaannya.
Tidak mahu produk warisan turun temurun daripada arwah ibunya lenyap begitu sahaja maka Normi kini semakin mahir menguasai cara pengoperasian masakan tersebut dan kini dilaksanakan secara moden pula.
Mengimbau fasa awal perniagaannya itu, Opah Yang mula menjual dodol sekitar tahun 70-an selepas menerima tempahan daripada saudara-mara serta penduduk kampung bagi majlis pertunangan, perkahwinan dan kenduri-kendara.
“Zaman dulu bila nak buat dodol, ia perlu ambil masa berjam-jam sebab kita memasak menggunakan kawah dan dapur kayu api, jadi kita perlu selalu mengacau dodol, jika tidak ia akan hangus.
“Bila dodol siap di masak, kami rasa begitu gembira kerana penat lelah itu membuahkan hasil.
“Resepi yang saya gunakan adalah turun temurun sebab itu proses pembuatannya juga agak remeh sehingga boleh melibatkan sehingga dua hingga tiga hari.
“Kami menggunakan kelapa, manakala beras pulut juga perlu ditumbuk,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di premisnya di Kampung Empai Teluk Sareh, Kampung Gajah di sini baru-baru ini.
Opah Yang menjelaskan, faktor kekurangan tenaga kerja dan mengambil masa yang agak lama untuk memasak dodol menyebabkan beliau hanya mampu menyiapkan sekawah dodol setiap minggu dan tempahan yang diambilnya ketika itu amat terhad.
Oleh itu, pasarannya pada masa itu sangat terhad tetapi tempahannya semakin bertambah sepanjang masa.
Kini melalui inisiatif Normi, promosi produk semakin menjadi selepas menyertai pelbagai pameran jualan selain mendapat bantuan daripada agensi dan jabatan kerajaan.
“Bagaimanapun, pada tahun 2014, kami diuji dengan insiden banjir besar yang melanda Kampung Gajah sehingga merosakkan peralatan perniagaan kami hingga terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu.
“Mulanya sedih dengan cabaran yang mendatang, kami mengambil masa selama dua bulan untuk bangkit kembali dan berniaga semula selepas menerima pelbagai bantuan daripada agensi kerajaan dan pelbagai pihak,” katanya.
Sementara itu, Normi berkata, biarpun berhadapan cabaran hebat semasa pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Dodol Opah Yang berjaya mencatatkan peningkatan jualan sekitar 15 peratus sejak 2021 sehingga tahun ini.
Katanya, antara kaedah pemasaran berkesan yang membantu promosi produknya adalah dengan menggunakan platform media sosial serta platform Shopee.
“Saya cuba memuat naik gambar produk di media sosial selepas tiga bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tetapi tidak mendapat sambutan kerana masa itu kurang ilmu mengenai pemasaran dalam talian.
“Kemudian Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW), Nordin Abdul Malek menawarkan diri membantu kami termasuklah menghasilkan video Opah Yang yang sungguh mencuit hati ramai orang,” katanya.
Tambahnya, sejak video emaknya tular tahun lalu, jualan produk syarikat terus meningkat sehingga terpaksa membeli sebuah lagi mesin membuat dodol selain membesarkan kedai sedia ada.
“Rezeki kami bertambah dengan peningkatan jualan mencecah lebih 50 peratus, angka tersebut dapat mengatasi jualan yang berkurangan semasa mula-mula pandemik melanda,” jelasnya.
“Kalau sebelum pandemik kami boleh jual 200 hingga 300 kilogram (kg) dodol sebulan, tapi sejak video Opah Yang menjadi tular, kami mampu jual hampir 500kg sebulan dan boleh mencecah sehingga 1,000kg semasa tibanya hari raya,” katanya. -KOSMO! ONLINE