PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kesal kerana terpaksa menolak bapanya yang menggunakan kerusi roda melalui jalan lebih jauh apabila laluan sepatutnya dikhaskan buat golongan orang kelainan upaya (OKU) telah dihalang oleh sebuah kereta.
Dalam video yang dimuat naik semalam di media sosial, dapat dilihat kereta jenis Perodua Myvi diparkir di luar kawasan petak sehingga menghalang laluan pengguna OKU yang ingin turun dari laluan pejalan kaki.
Pemilik akaun @intanharith memaklumkan ekoran sikap pentingkan diri pemandu Myvi itu, dia terpaksa menggunakan laluan lebih jauh untuk menurunkan bapanya yang menggunakan kerusi roda ke jalan raya sambil membawa anaknya.
Kemudian, pemandu Myvi terbabit muncul dan dan terus masuk ke dalam kereta beredar dari lokasi tanpa rasa bersalah mahupun meminta maaf kepadanya.
“Saya dan hangin dan berpeluh tunggu nak turunkan abah ke jalan raya. Kena pusing jauh sikit guna jalan satu lagi untuk turunkan abah.
“Masa dah tolak abah ke jalan raya, baru pemandu lelaki itu datang dengan rasa tak bersalah dan tak cakap minta maaf sebab susahkan kami kena pusing jalan,” katanya.
Katanya, perbuatan seperti itu perlu ditularkan agar menjadi peringatan kepada orang lain.
“Betul orang cakap, organ paling mahal adalah otak, sebab jarang guna otak, kita viral,” katanya.
Dalam pada itu, rata-rata orang ramai turut mengecam tindakan pemandu Myvi berkenaan kerana telah menyusahkan pengguna lain selain tidak tahu mematuhi peraturan sedia ada.
“Hubungi terus pihak berkuasa tempatan untuk ‘towing’ kereta macam ini, susahkan orang lain,” kata seorang pengguna.
“Kalau aku dah hilang cermin sisi dia, biar dia tahu hukuman buat orang tiada otak seperti itu,” ujar pengguna lain. – KOSMO! ONLINE