PETALING JAYA – Pelakon Mona Allen dan suaminya, pengarah Pekin Ibrahim bakal menyambut kelahiran bayi sulung lelaki yang dijangka dilahirkan pada bulan depan.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri Mona atau nama sebenarnya Munna Hafiraneza Allen menerusi perkongsian video majlis ‘gender reveal’ dalam Instagramnya semalam.
Dalam video berkenaan, Mona dan Pekin memecahkan belon besar berwarna hitam yang didalamnya terdapat beberapa belon kecil berwarna biru bagi menandakan jantina anak mereka.
“Terima kasih semua yang datang. Sayang kalian dan ya, it’s a boy! (anak lelaki). Alhamdulillah syukur,” tulis Mona.
Perkongsian Mona dihujani doa dan ucapan tahniah daripada rakan selebriti serta peminat yang teruja menantikan kelahiran anak sulungnya.
“Alhamdulillah, tak sabar nak tunggu! Semoga Allah permudahkan semuanya untuk awak dan bayi,” titip pelakon Aishah Azman.
Kandungan sulung Mona merupakan penantian panjang pelakon itu selama empat tahun selepas berkahwin dengan Pekin pada 2018.
Mona pertama kali mengumumkan kehamilannya pada Mei lalu ketika usia kandungannya mencecah enam bulan.
Sebelum hamil anak pertamanya itu, pelakon drama Hati Yang Dikhianti itu mendedahkan pernah melakukan rawatan dengan pengamal perubatan Islam.
Untuk rekod, Mona mendirikan rumah tangga dengan Pekin atau nama sebenarnya Mohd. Iznan Ibrahim pada 7 Disember 2018. – KOSMO! ONLINE