KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki negara mencipta kejutan sensasi apabila mengecewakan Iran untuk muncul juara Piala Hoki Dalam Dewan Asia 2022 di Bangkok, Thailand.
Sejarah baharu itu tercipta selepas menewaskan Iran 3-2 menerusi penalti shoot-out setelah terikat 4-4 dalam tempoh 60 minit final yang berlangsung cukup mendebarkan di Stadium Tertutup Huamark sebentar tadi.
Skuad kendalian Muhammad Amin Rahim kini boleh mendabik dada kerana kejayaan tersebut akhirnya meleburkan dominasi Iran yang terdahulu muncul juara lapan edisi berturut-turut sejak 2008.
Bukan itu sahaja, ia juga adalah kemenangan pertama skuad kebangsaan ke atas Iran dalam enam pertembungan terakhir dalam saingan hoki dalam dewan sejak dimalukan 2-12 sewaktu edisi Piala Hoki Dalam Dewan Asia 2014.
Sebagai rekod, empat gol Malaysia dalam aksi itu dijaringkan dua oleh Ashran Hamsani dan masing-masing satu daripada Shello Silverius serta Norhafizie Jamil Azomi.
Empat gol Iran pula dihasilkan oleh Mohsen Bohlouli, Amirmahdi Mirzakhani, Mohammad Karimi dan Hamid Nooranian.
Ketika penentuan penalti shoot-out, penjaga gol, Khairul Afendy Kamaruzaman berjaya menafikan percubaan Mahdi Shahrokhi sekali gus menjadi faktor utama kejayaan skuad negara memenangi perlawanan itu.
Kejayaan manis itu dilengkapkan dengan pencapaian skuad wanita meraih tempat ketiga selepas menewaskan Kazakhstan 2-0 menerusi jaringan Iren Hussin dan Nur Aisyah Yaacob.
Ia sekali gus memperbaiki pencapaian terdahulu yang menyaksikan skuad wanita menduduki tempat keempat sewaktu edisi 2019 di Chonburi, Thailand. – KOSMO! ONLINE