fbpx

Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Noor Hisham.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk menunjukkan peningkatan pada Minggu Epidemiologi (ME) 32/2022, iaitu dari 7 Ogos hingga 13 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan perbandingan dengan ME 31/2022, jumlah pesakit Covid-19 bagi kategori 1 dan 2 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 5.3 peratus.

“Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 ke hospital awam juga turut mencatatkan peningkatan sebanyak 11.4 peratus pada ME 32/2022.

“Pada masa sama, peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 turut mencatatkan peningkatan di mana penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat sebanyak 2 peratus manakala penggunaan katil kes bukan kritikal dan di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), masing-masing meningkat sebanyak 1 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, peningkatan turut dikesan ke atas jumlah kes-kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara.

“Berdasarkan perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 31/2022 dan ME 32/2022, jumlah kedatangan pesakit ke CAC didapati meningkat sebanyak 3.9 peratus iaitu daripada 13,238 kes kepada 13,757 kes.

“Bilangan kes Covid-19 yang dirujuk oleh CAC ke hospital juga didapati meningkat sebanyak 66.4 peratus iaitu daripada 220 kes sebelum ini kepada 366 kes,” ujar beliau.

Bagaimanapun, menurut beliau, trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya oleh CAC menunjukkan telah berlaku penurunan sebanyak 5.5 peratus pada akhir ME 32/2022 iaitu daripada 66,182 kes kepada 62,516 kes.

“Terdapat juga peningkatan bilangan kes sembuh daripada Covid-19 pada ME 32/2022 sebanyak 1.1 peratus malah bilangan kes baharu turut menurun sebanyak 6.6 peratus iaitu daripada 28,554 kes kepada 26,678 kes.

“Berdasarkan rekod, terdapat penurunan sebanyak 6.5 peratus pada bilangan kes tempatan iaitu daripada 28,499 kes kepada 26,656 kes malah kes import juga mencatatkan penurunan sebanyak 60.0 peratus iaitu daripada 55 kes kepada 22 kes,” jelas beliau.

Tambah Dr. Noor Hisham, bilangan kes kematian pada ME 32/2022 kekal 60 kes manakala purata kes aktif dalam tempoh sama adalah sebanyak 44,706 iaitu menurus sebanyak 2.7 peratus berbanding minggu sebelumnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI