fbpx

Kastam rampas air zamzam, barangan kontraban bernilai RM1.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SABRI (kiri) menunjukkan barangan yang berjaya dirampas menerusi operasi 1 Mei hingga 31 Julai lalu.

PETALING JAYA – Kastam berjaya menggagalkan cubaan sindiket menyeludup masuk minuman keras, produk tembakau, air zamzam serta barangan kontraban tanpa permit bernilai RM931,260 melibatkan jumlah cukai sebanyak RM1.8 juta.

Difahamkan, operasi berasingan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) itu dijalankan bermula 1 Mei hingga 31 Julai lalu.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah WPKL, Mohammad Sabri Saad berkata, pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras yang disyaki tidak berkastam dengan menahan sebuah kontena di Pelabuhan Klang pada 25 Mei lalu.

“Hasil pemeriksaan kita kemudian merampas minuman keras jenama Lambo sebanyak 23,496 liter bernilai RM136,000 membabitkan jumlah cukai sebanyak RM902,000.

“Semakan mendapati tiada sebarang dokumen kelulusan berhubung pengimportan dagangan tersebut dikemukakan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Selain itu, kastam turut merampas produk tembakau kunyah disyaki tanpa permit import seberat 667 kilogram pada 8 Jun lalu.

Menurut Sabri, rampasan produk tembakau yang bernilai RM42,000 membabitkan jumlah cukai RM58,640 itu telah disembunyikan di bahagian belakang kontena bersama selipar getah dan produk makanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Sementara itu, dalam operasi berasingan kastam turut merampas 27,000 liter air zamzam bernilai RM601,260 membabitkan jumlah cukai RM180,380 menerusi operasi pada 21 Jun lalu.

“Produk terbabit telah diikrarkan sebagai barangan peribadi dari Timur Tengah manakala siasatan awal mendapati air zamzam itu dijual melalui platform e-commerce secara dalam talian,” ujarnya.

Tambahnya, operasi terakhir dijalankan pada 18 Julai lalu yang mana rokok dan minuman keras bernilai RM152,000 melibatkan anggaran cukai sebanyak RM660,000 berjaya dirampas.

“Menerusi operasi itu, kita turut menahan 18 orang yang disyaki dan membuka 30 kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan.

“Tangkapan dan rampasan tertumpu di Lembah Klang melibatkan aktiviti pembekalan, penjualan dan penyimpanan rokok serta arak seludup yang dipercayai dibawa masuk melalui jalan laut dan darat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI