TANJONG MALIM – Atlet silat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Mohamad Firdaus Mohd. Israj berpuas hati dengan kejayaannya apabila menjelmakan pingat emas sekali gus menebus kekecewaannya ketika di Sukan Universiti Asean (AUG).
Mohamad Firdaus yang merupakan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan itu berjaya meraih emas dalam kelas B putra selepas menewaskan atlet Politeknik Malaysia, Muhammad Al Imran Mohd. Nizam, 5-0 pada perlawanan akhir Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 sebentar tadi.
Jelasnya, kekalahan di AUG sebelum ini menjadi sebab untuk dia bangkit dan membuktikan kemampuan sebenarnya dalam temasya SUKIPT kali ini.
“Saya nak tebus balik kekalahan saya di Sukan Universiti Asean (AUG) baru-baru ini dan saya nak ke AUG di Surabaya pula akan datang. Jadi, sebab itu saya kena menang di SUKIPT ini.
“Motivasi saya datang daripada kekalahan di AUG sebelum ini dan saya nak buktikan yang saya betul-betul boleh menang,” katanya ketika di temui selepas perlawanan di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Selepas ini, Mohammad Firdaus akan mewakili Kelantan untuk dalam acara yang sama iaitu silat tanding kelas B putra di SUKMA.
“Selepas ini saya akan ke Sukan Malaysia (SUKMA) pada bulan depan dengan mewakili negeri Kelantan,” tambahnya.
Kem silat UPNM berjaya mendominasi acara silat dengan pungutan sebanyak lima emas. Ia jelas membuktikan mereka berada pada kelas tersendiri dalam temasya SUKIPT edisi ke-5 ini. – KOSMO! ONLINE