LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp percaya Darwin Nunez tidak akan terperangkap dalam situasi yang membandingkannya dengan penyerang sensasi Manchester City, Erling Haaland.
Nunez tampil cemerlang dalam aksi Perisai Komuniti dan prestasinya kekal ketika menyumbangkan satu gol serta satu bantuan jaringan semasa seri 2-2 dengan Fulham minggu lalu.
Walaupun Haaland gagal menghasilkan sebarang jaringan ketika aksi menentang Bournemouth, kelmarin, plot saingan musim ini pasti menjurus kepada persoalan penyerang mana yang mampu menjaringkan lebih banyak gol
Bagaimanapun, selepas mengambil kira jumlah wang yang dibelanjakan Liverpool, Klopp tidak dapat mengelak berlakunya perbandingan antara kedua-dua penyerang itu.
Malah, pengurus dari Jerman itu tetap menghormati Haaland yang disifatkan sebagai calon untuk merangkul anugerah kasut emas.
Namun, keutamaannya ketika ini pastinya menjurus kepada menyiapkan Nunez menjelang aksi debut di Anfield menentang Crystal Palace awal pagi esok.
“Ketika ini saya belum lagi cukup mengenali Darwin. Di penghujung musim nanti, semuanya akan berkisar kepada jumlah jaringan dan mungkin perkara ini mampu memotivasikannya.
“Haaland dan Manchester City sudah terbukti, namun buat masa ini, dia (Nunez) hanya perlu menjaringkan gol serta cuba mencipta bantuan jaringan. Kami hanya mahu melihat kepada cara permainan sendiri,” jelasnya. – AGENSI