PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan Lawatan Negara ke Turkiye selama tujuh hari bermula hari ini.
Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat mengadakan pertemuan dengan Presiden Republik Turkiye, Reccep Tayyip Erdogan di Istana Presiden, Ankara, esok.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Hadir sama bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda berdua adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
Turut hadir, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
Sebelum berangkat, Seri Paduka Baginda berdua menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dengan diiringi 21 das tembakan meriam dan lagu Negaraku.
Istana Negara dalam kenyataan berkata, Lawatan Negara di atas jemputan presiden negara republik itu sepatutnya dijadualkan pada tahun lalu namun ditangguhkan susulan penularan Covid-19.
“Lawatan Negara kali ini merupakan yang pertama kalinya buat Seri Paduka Baginda berdua bagi tahun 2022 yang mana kali terakhir adalah ke Indonesia pada 26 Ogos 2019.
“Ekoran penularan gelombang Covid-19 bermula awal tahun 2020, Lawatan Negara yang telah dijadualkan pada tahun tersebut dan 2021 telah ditangguhkan,” kata kenyataan itu hari ini.
Tambahnya lagi, Lawatan Negara terakhir ke Republik Turkiye oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ialah pada 1992 oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-9, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
“Lawatan Negara ini melambangkan kepentingan, keakraban dan keteguhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Turkiye sekali gus menyumbang ke arah mengukuhkan jalinan persahabatan kedua-dua negara yang terjalin sejak 1964.
“Lawatan Negara ini turut mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda berdua terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia dan juga terhadap kelestarian prestasi pelaburan juga kepentingan negara di Republik Turkiye,” katanya. -KOSMO! ONLINE